Program PENYAYANG SMKGS

Pendidikan adalah aktiviti berkaitan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Sekolah sebagai organisasi yang didukung golongan pendidik menjadi wadah terpenting dalam menjana modal insan yang berketrampilan, terpuji di samping melahirkan insan yang intelektual. Hari ini, bidang pendidikan menjadi tonggak utama sesebuah negara dalam proses pembangunan. Maju atau mundur sesebuah negara terletak pada keberkesanan dalam sistem pendidikannya. 

 Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan konsep ‘Sekolah Penyayang’ untuk melahirkan pelajar berketrampilan, sekali gus membendung salah laku murid.

 Konsep Sekolah Penyayang merupakan salah satu konsep yang penting dalam sistem pendidikan Malaysia. Ia mempunyai hubungan yang cukup erat dengan cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020, iaitu masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Konsep Sekolah Penyayang adalah konsep yang mampu menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang juga mampu menjana  generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek, jasmani dan mempunyai disiplin diri yang tinggi