Adab Pelajar Terhadap Guru

Sumber: dakwahdantarbiah.com

SIFAT pertama yang perlu ada pada setiap pelajar dalam memelihara adab terhadap guru ialah menghormati guru. Guru wajib dihormati kerana kedudukannya yang menyampaikan ilmu kepada pelajar. Pelajar juga wajib menghormati guru kerana kedudukan pelajar yang menerima ilmu darinya. Daripada  Abu  Hurairah  bahawasanya  Rasulullah  Salallahu’alaihiwasallam  pernah bersabda bermaksud:

Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu ketenangan dan kesopanan dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang kamu ambil ilmunya. (Riwayat Ath-Thabrani)

Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam juga mengingatkan akan hak pelajar terhadap guru dalam sabda baginda, bermaksud:

Tidak termasuk umatku orang yang tidak mengagungkan orang besar dari kami, tidak mengasihi orang kecil dari kami, dan tidak mengetahui hak orang alim dari kami. (Riwayat At-Thabrani)

Saidina Ali Radhiallahu‘anhu pernah memberi pesanan dalam soal menghormati guru dengan berkata, bermaksud:

Hak seorang alim (guru) yang wajib atas dirimu ialah: memberi salam kepada semua orang yang berada dalam majlisnya, dan mengkhususkannya dengan berjabat tangan. Hendaklah duduk berhadapan dengannya, tidak boleh menunjuk jari di hadapannya, tidak boleh mengerling mata dengan orang lain di hadapannya, tidak menyebut kata-kata orang lain di hadapannya, tidak boleh mencaci orang di hadapannya dan sekiranya dia melakukan kesilapan hendaklah maafkannya. Muliakanlah dirinya kerana Allah Subhanahuwata’ala, dan kiranya dia memerlukan sesuatu, hendaklah segera menghulurkan bantuan kepadanya, jangan memuji-muji orang lain di dalam majlisnya, jangan menarik bajunya, jangan memaksanya jika dia keberatan, jangan merasa jemu duduk bersamanya. Anggap dia laksana lebah dan dirimu menunggu sesuatu yang akan jatuh daripadanya pada bila-bila masa sahaja.

Sehubungan dengan hadith di atas serta pesanan Saidina Ali Radhiallahu‘anhu, Dr.Abdullah Nasih Ulwan membuat beberapa kesimpulan akan adab-adab pelajar terhadap gurunya :

1. Seorang pelajar hendaklah merendahkan dirinya di depan guru, jangan keluar daripada pendapat dan arahannya. Merendahkan diri terhadap guru adalah satu kemuliaan dan ketinggian. Imam Ghazali ada menyatakan : Ilmu itu hanya akan diperolehi dengan merendahkan diri dan memperhatikannya… Imam Ahmad berkata kepada Khalafu’l-Ahmar: Aku tidak pernah duduk kecuali di hadapanmu, kami telah diperintahkan untuk merendahkan diri terhadap orang yang kami ambil ilmunya..

2. Seorang pelajar hendaklah memandang gurunya dengan kemuliaan dan meyakini bahawa gurunya memiliki darjat yang tinggi. Imam Syafi’i ada menyatakan: Pernah aku menyimbak (membuka) lembaran kertas di depan Malik dengan lembut kerana kewibawaannya, agar dia tidak mendengar gemerisiknya Ar-Rabi’ berkata : Demi Allah, aku tidak berani meminum air sedangkan As-Syafi’i melihatku kerana rasa hormat kepadanya.  Pelajar-pelajar juga hendaklah dilatih supaya tidak memanggil gurunya dengan kata-kata “kamu”,  tetapi dengan mengatakan “wahai guruku atau wahai ustazku”, kerana kata-kata panggilan yang baik merupakan pengikat rasa kasih sayang antara murid dan gurunya.

Baca selanjutnya : https://dakwahdantarbiah.com/adab-pelajar-terhadap-guru/