Mekanisme nilai pelajar

Berikan rating (star) untuk artikel ini

(jumlah 11 undian)
Saiz Font: Decrease font Enlarge font
image

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mempunyai mekanisme untuk menilai pelajar bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh walaupun peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan mulai 2014.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain daripada pencapaian pelajar itu menerusi penilaian sekolah, latar belakang mereka juga diambil kira dalam pemilihan kemasukan ke sekolah berasrama penuh. “Kita akan memberi keutamaan jika latar belakang pelajar itu dari keluarga miskin, tetapi dia cemerlang dan langkah ini kita sudah mulakan tahun lalu,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan perjalanan peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan PMR mulai 2014 dan peperiksaan utama selepas ini hanya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah. “Walaupun begitu, kita putuskan untuk meneruskan penilaian menerusi sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) di mana pelajar masih boleh diukur tahap pencapaian pelajaran menerusi peperiksaan dibuat oleh sekolah dengan dipantau Lembaga Peperiksaan supaya soalan disediakan setara dan berkualiti bagi mengukur sejauh mana kejayaan pelajar.

“Ia juga penting supaya ibu bapa dapat mengetahui prestasi anak mereka dan membantu kita mengenalpasti kekurangan dan mengambil langkah memperbaikinya,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai usaha kerajaan menjadikan sekolah satu sesi saja, beliau berkata, tinggal kira-kira 20 peratus saja lagi sekolah yang mempunyai dua sesi.

 

“Kalau boleh semua sekolah kita jadikan satu sesi dan caranya ialah menambah bilangan bilik darjah kerana bilangan guru bukan satu masalah disebabkan kita mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi.

“Masalah bilik darjah timbul kerana di sesetengah sekolah, kita tidak dapat meramalkan kemasukan pelajar sehingga jumlahnya meningkat dengan besar sekali menyebabkan dua sesi terpaksa dilakukan,” katanya.

 

Menurutnya, sekolah satu sesi penting kerana tempoh pembelajaran boleh dilanjutkan satu hingga dua jam untuk mata pelajaran kritikal seperti bahasa Inggeris, matematik dan sains.

“Langkah itu yang dilaksanakan di sekolah swasta dan kebaikan lain sekolah satu sesi membabitkan aktiviti kokurikulum untuk pelajar,” katanya. Beliau berkata, jika mendapat peruntukan mencukupi untuk menambahbaik kemudahan di sekolah, mungkin tempoh sekolah satu sesi mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya.

 

 

  • email Email kepada rakan
  • print Versi cetak
  • Add to your del.icio.us del.icio.us
  • Digg this story Digg thisx

Hantar pendapat anda comment Pendapat (0 dihantar)

Powered By CONNECT.TEAM| All Right Reserved Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia (SMKGS)