Tingkat jati diri pelajar ala tentera

Berikan rating (star) untuk artikel ini

(jumlah 11 undian)
Saiz Font: Decrease font Enlarge font
image

Tingkat jati diri pelajar ala tenteraBaru-baru ini, seramai 120 pelajar dan murid mewakili tiga sekolah di Selangor dan Perak terpilih mengikuti kem motivasi ala ketenteraan anjuran Bank Islam di Kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Bentong, Pahang.

Tiga sekolah itu adalah Sekolah Menengah Gombak Setia, Selangor; Sekolah Kebangsaan Sungai Ranggam dan Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi, Teluk Intan, Perak yang juga sekolah program Pintar pilihan Bank Islam.

Kesemua pelajar yang terlibat pada kem yang berlangsung selama tiga hari itu dipilih berdasarkan latar belakang keluarga berpendapatan rendah namun menunjukkan potensi cemerlang dalam pelajaran.

Pelajar yang terpilih menyertai program itu dilatih dan dikawal selia pelatih Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Kem Bentong selaras dengan matlamat program yang memberi motivasi dan membina keyakinan pelajar khususnya mereka yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

Program itu juga bertujuan menjadi input tambahan kepada pembelajaran dalam darjah dan memperlengkapkan diri pelajar dengan keyakinan dan motivasi tinggi.

Kem motivasi itu juga merupakan salah satu inisiatif Bank Islam dalam membantu masyarakat dengan fokus utama untuk meningkatkan taraf pendidikan termasuk latihan dalam kumpulan, ceramah kepimpinan, rentas desa dan latihan pertolongan cemas.

Salah seorang murid, Muhammad Hazim Rislan dari Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi berkata, dia berasa bertuah kerana terpilih menyertai program itu kerana ia berjaya membantu dirinya meningkatkan keyakinan diri

"Usaha ini telah mendorong saya untuk belajar dengan bersungguh- sungguh bagi menghadapi UPSR malah saya berasa amat teruja untuk menghadapi UPSR pada September ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan Pengguna Wilayah Timur Bank Islam, Abd. Manan Talib berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM150,000 pada tahun ini bagi menggerakkan pelbagai aktiviti khusus program sekolah Pintar.

Ujarnya, antara aktiviti yang dijalankan sebelum ini seperti kelas tuisyen intensif bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, anugerah pelajar cemerlang, penambahbaikan persekitaran pembelajaran di sekolah dan sumbangan wang zakat kepada pelajar kurang bernasib baik.

''Bank Islam berhasrat memperluaskan program seperti ini ke sekolah lain bagi memberi peluang pendidikan kepada pelajar terutamanya di kawasan luar bandar untuk membentuk kecemerlangan diri,'' katanya.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130401/pe_01/Tingkat-jati-diri-pelajar-ala-tentera#ixzz3QE2wc0lM 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
  • email Email kepada rakan
  • print Versi cetak
  • Add to your del.icio.us del.icio.us
  • Digg this story Digg thisx

Hantar pendapat anda comment Pendapat (0 dihantar)

Powered By CONNECT.TEAM| All Right Reserved Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia (SMKGS)